Khamis, 12 Julai 2012

BERUBAHKAH POLITIK PATANI SETELAH DEN TOHMEENA MENJADI SENATOR?


Tentera Thai Terlibat Secara Rahsia Membunuh 9 Penduduk Melayu Secara Zalim Di Kg.Ketong, Menara.
Oleh M.N.R

RANTAU PANJANG: "Kami datang ke sini untuk menceritakan kejadian sebenar berhubung tragedi sembilan orang penduduk Islam maut dan sembilan lagi cedera dalam serangan dan letupan bom di Kampung Ketong, Narathiwat, Rabu lalu.

"Laporan media dari Thailand dan Malaysia mengenai kejadian itu tidak benar. Pembunuhan itu sebenarnya adalah didalangi secara rahsia oleh tentera Thai dan bukannya kumpulan pemisah seperti didakwa oleh pihak berkuasa Thailand.

"Saya nampak sendiri anggota tentera Thai berdiri di hadapan rumah ketika terjun menerusi tingkap rumah kami semasa kejadian," dakwa lelaki berusia 30 tahun yang enggan mendedahkan identiti bersama empat jirannya yang membawa bersama dua bayi berusia enam bulan dan setahun.

Lelaki yang bekerja sebagai penoreh getah itu bersusah-payah mengambil risiko datang ke kawasan Malaysia bagi menceritakan kejadian sebenar apa yang telah berlaku di kampung itu, yang terletak kira-kira 100 kilometer dari sini. Penduduk kampung itu terdiri daripada tiga orang lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 35 tahun, serta dua bayi yang menaiki pikap bertolak dari Kampung Ketong, Menara kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Mereka tiba di Rantau Panjang kira-kira jam 7 malam, sebelum dibantu oleh penduduk kampung bagi menghubungi wakil media dari Kota Bharu, Kelantan dan bertemu pada jam 11 malam. Lelaki berbangsa Melayu yang bertindak sebagai jurucakap itu berkata, mereka datang mendedahkan kejadian itu selepas beliau mendapati bahawa laporan media massa Thailand tidak menceritakan keadaan yang sebenar. Ketika menceritakan kisah sebenar di sebalik kejadian itu, dia mendakwa: "Saya terkejut dari tidur kira-kira jam 1.30 pagi sebaik terdengar bunyi tembakan dan letupan bom berhampiran rumah. Saya bergegas terjun menerusi tingkap bagi menyelamatkan diri.

"Ketika itu, saya ternampak lelaki berpakaian tentera bersenjata automatik berdiri di depan rumah. Pada masa yang sama juga , saya ternampak rumah jiran kami musnah akibat daripada letupan bom.

"Menyedari kejadian ngeri itu, saya telah cuba melarikan diri dan anggota tentera berkenaan telah melepaskan tembakan beberapa kali dan terkena pada kaki kiri. Namun saya terus berlari di dalam gelap-gelita sejauh lebih kurang dua kilometer untuk menyelamatkan diri," katanya yang enggan nama disiarkan. 

Pemuda terbabit mendakwa, penduduk kampung melihat sekumpulan anggota tentera digerakkan keluar dari kampung itu selepas kejadian dengan helikopter kira-kira jam 8.30 pagi. Katanya lagi, dengan bukti pergerakan tentera Thai yang keluar dari kawasan itu akan menambahkan lagi kecurigaan penduduk kampong. Kini mereka benar-benar percaya dan yakin bahawa pasukan keselamatan Thailand adalah satu-satunya manusia yang mendalangi kejadian terbabit. Jirannya yang berusia 33 pula berkata, dia bersama isteri dan dua anak sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan dan letupan bom terhadap rumah jiran, kira-kira tujuh meter dari rumahnya.

"Dua anak saya berusia lima tahun dan tujuh bulan turut terkejut apabila sebutir peluru tersasar memasuki rumah kami dan kemudiannya terkena pada cermin almari. 

"Kami empat beranak berpelukan sambil berlindung di sebalik dinding kerana terlalu takut sehingga bunyi letupan berhenti selepas kira-kira 20 minit," katanya.

Dia yang juga bekerja sebagai penoreh getah di Kampong Ketong berkata, kira-kira jam 2.30 pagi, semua penduduk keluar beramai-ramai meninjau sekitar rumah jirannya sebelum menemui sembilan mayat termasuk beberapa kanak-kanak mati dengan penuh trajis akibat tembakan tepat di kepala masing-masing. 

"Saya sedih dan amat marah apabila melihat keadaan dan cara pembunuhan yang tidak-berperikemanusiaan oleh tentera Thai. Mereka sungguh tergamak membunuh hidup-hidup kelima-lima anak perempuan jiran saya, yang berusia di antara 14 hingga 22 tahun dengan menembak mati semua mereka tepat di kepala," katanya. 

Seorang lagi jirannya yang berusia 22 tahun berkata, ketika kejadian itu berlaku, seluruh ahli keluarganya sedang nyenyak tidur. Tiga adik serta seorang sepupu saya yang berusia di antara 14 hingga 22 tahun sedang tidur di tingkat atas, manakala saya dan ibu bapa tidur dalam bilik berasingan di tingkat bawah.

"Secara tiba-tiba, kami dikejutkan oleh letupan bom, tiga adik dan sepupu saya cedera parah akibat letupan bom yang dipasang di tepi rumah," katanya yang bernasib-baik kerana masih terselamat bersama kedua-dua ibu bapanya.

“KERJA SIAM, LEMPAR BATU, SOROK TANGAN”
“TRAGEDI THAI BLACK NINJA BERULANG LAGI”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan