Khamis, 12 Julai 2012

Perpecahan BRN


PERPECAHAN


Perpecahan BRN bermula pada tahun 1979 apabila ketiga-tiga cabang angkatan bersenjata BRN terdiri dari ABREP (Angkatan Bersenjata Revolusi Patani), GURBAN (Briged Gerila Bandar) dan KOGAP (Komando Operasi Gerak Angkatan Pemuda Patani) bangkit menentang pucuk pimpinan BRN yang dikenali dengan nama DPP (Dewan Pimpinan Pusat). ABREP, GURBAN dan KOGAP mengistiharkan KERTAS PUTIH membubarkan DPP dan menggantung Undang_Undang Dasar (Perlembagaan BRN) dengan meletakkan BRN di bawah sebuah badan yang dikenali dengan nama MAGERAD (Majlis Gerakan Revolusi Dalam Negeri). MAGERAD dipimpin oleh 14 orang anggota.


Sebab utama yang membawa kepada perpecahan BRN berpunca dari pembentukan KOGAP yang diproklamirkan oleh Setiausha Agungnya, Ustaz Karim Hassan pada 7 Januari 1977. Ustaz Karim telah melantik Lukman Iskandar sebagai panglima KOGAP. DPP enggan mengiktiraf pembentukan dan penubuhan KOGAP dan mengistiharkan KOGAP sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana tidak berlandaskan kepada Undang-Undang Dasar BRN.
DPP enggan mengiktiraf KOGAP kerana ia dipimpin oleh anggota-anggota BRN yang dipecat oleh DPP iaitu Lukman Iskandar dan pembantunya, Zainunman. Sebenarnya DPP boleh mengiktiraf KOGAP jika ia dipimpin oleh tokoh lain. Maka perlantikan yanag dibuat oleh Karim adalah dianggap tidak sah.
Lukman Iskandar ialah seorang tokoh BRN yang sangat kontroversi yang sentiasa mengkritik dan mengecam DPP yang dianggapnya sebagai “ulamak prokomunis”. Beliau sering mencabar kepimpinan dan kewibawaan DPP; beliau enggan patuh dasar daan program yang digariskan oleh DPP. Hampir semua tindakannya bercanggah dengan keputusan dan kerangka dasar DPP. Akhir sekali beliau memberontak menentang DPP.
Lukman berasal dari keluarga raja-raja yang memerintah negeri Setul sebelaum penaklukan Siam pada tahun 1785. Datuk neneknya bergelar Kha Luang. Mereka dikatakan mempunyai kaitan darah dengan Rama Chakri yang memerintah sekarang.
Lukman mendapat pendidikan Inggeris di Malaysia, dan kelulusan menara gading di UiTM (Institut Teknologi Mara – universiti). Sewaktu belajar di Malaysia beliau mendapat latihan militer sebagai seorang kedet. Beliau kembali ke Setul, kemudiannya diambil menjadi tenaga pengajar di Thamawithaya Mulniti pada tahun 1973. Sewaktu mengajar, beliau telah diambil oleh Wan Mohammad Bung, menjadi anggota resmi BRN.
Beliau juga telah diberi tugas politik yang diamanatkan oleh BRN untuk berada disamping Presidennya, Amin Tohmeena, yang pada waktu itu menjadi Yang Di Pertua (Pengerusi) Majlis Agama Islam Wilayah Patani (MAIP). Oleh itu beliau juga telah diambil menjadi tenaga pengajar di Maahad Darul Maarif, sebuah institusi pendidikan milik penuh MAIP. Dalam tugas sebagai seorang tenaga akedemik, beliau berulang alik dari Patani dan Yala. Lalu beliau dilantik menjadi Setiausha Politik kepada Amin, atas sifat Amin selaku Presiden BRN. Beliau juga menjalankan tugas-tugas sambilan sebagai setiausha Amin di MAIP. Beliau acap berada bersama Amin , termasuk urusan di luar negeri. Beliau tidur, makan dan memandu otomobil bersama Amin. Beliau kenal keseluruhan anggota DPP yang menerajui BRN. Kebanyakan mereka tinggal dalam negeri bergerak secara bawahtanah, sama saperti Amin.
Diantara tugas politik yang diberikan kepadanya oleh DPP ialah melancarkan kempen menentang dan menghancurkan BNPP (Barisan Nasional Pembebasan Patani) sebuah fron pembebasan alternatif yang ditubuhkan oleh Tengku Jalal Nasir setelah menarik diri keluar dari BRN; dan parti-parti reaksioner saperti PULO dan GIP. Banyak kubu dan basis BNPP dan PULO telah dihancurkan oleh Lukman terutamanya di instiusi di mana beliau pernah mengajar.
Pada tahun 1974, demi untuk menguatkan lagi cengkaman ke atas revolusi Patani, BRN dengan mandar DPP telah melantik Lukman menjadi Panglima sebuah sayap militer BRN yang baru ditubuhkan diberi nama Briged Gerila Bandar atau GURBAN. Di sinilah bermulanya karier militer Lukman sebagai seorang ketua gerila Patani. Beliau telah mengambil, melatih dan memimpin sejumlah 600 anggota militia GURBAN sebagai komando dan kader BRN. Selain dari operasi menghancurkaan sasaran musuh, Lukman juga terlibat dalam bentrukan senjata dengan PKM (Parti Komunis Malaya) di perbatasan Malaysia. DPP menentang keras provokasi bersenjata ini kerana ia bercanggah dengan matlamat perjuangan BRN kerana komunis bukan musuh utama BRN.
Pada tahun 1976, Lukman mempunyai hubungan asmara dengan Noraini, anak gadis Amin (anak almarhum abangnya yang dipelihara dan dibesarkan oleh Amin sebagai anaknya sendiri). Hubungan asmara ini mencetuskan hubungan peribadi diantara Lukman dan Amin. DPP menyokong Amin dan meletakkan semua kesalahan ke atas Lukman. Amin juga menggunakan semua jentera yang menjadi milik dan di bawah kekuasaannya saperti MAIP, Majlis Permesyuaratan Wilayah Patani (Spa Changwat) dan BRN untuk menghancurkan Lukman. Amin memanggil sidang tergempar DPP yang diadakan di Maahadil Ulum. Sidang itu, yang kemudiannya dinamakan “Sidang Mahkamah Diktator Militer” oleh Lukman sendiri, menjatuhkan hukuman mati ke atas Lukman serta memecatnya dari semua jawatan dalam BRN. Seluruh jentera BRN diberi instruksi melaksanakan keputusan sidang tersebut.
 Sidang Mahkamah Diktator Militer” ini dianggap satu sidang atau permesyuaratan yang paling silap dalam perjalanan sejarah Patani. Ulamak-ulamak yang menerajui BRN bertindak atas nama DPP untuk menghancur dan membinasakan seorang hamba Allah, yang mereka fikir tidak berwibawa dan tiada pengaruh. Rahsia ini terbocor kepada pengetahuan Lukman apabila kedua-dua “surat perintah” tersebut, yang dimajukan kepada Panglima GURBAN yang baru dilantik, Masari Savari dan Timbalan Panglima ABRIP, Cikgu Pin membocorkan rahsia mereka kepada Lukman. Lukman melancarkan pemberontakan menetang DPP, sebagai ulamak komunis yang menerajui BRN. Taindakan beliau disokong oleh ABREP, GURBAN dan pasukan kepolisian yang baru ditubuhkan oleh BRN, bernama KOGAP.
Lukman telah ditangkap oleh kerajaan Malaysia atas alasan cuba melancarkan revolusi bersenjata di Malaysia bersama beberapa orang pegawai askar Malaysia. Beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim itu pada akhir tahun 1977. Sewaktu Lukman berada dalam penjara di Malaysia, ABREP, GURBAN dan KOGAP mengistiharkan Kertas Putih membubarkan DPP dan menggantung Undang_Undang Dasar (Perlembagaan) BRN dan meletakkan BRN di bawah MAGERAD (Majlis Gerakan Revolusi Dalam Negeri)pada tahun 1979. Lukman telah dilantik menjadi salah seorang dari 14 orang anggota MAGERAD. Apabila dibebaskan dari tahanan ISA pada tahun 1981, beliau telah dilantik menjadi Setiausha Jabatan Politik Luar Negeri BRN (Kementerian Luar Negeri bagi kabinet bayangan Patani).
Pada tahun 1984, MAGERAD menghadapi krisis politik apabila beberapa anggota militan dan radikal di dalamnya menentang kepimpinan dan kewibaan Ustaz Karim, Presiden BRN. Mereka dipimpin oleh Zainunman, Timbalan Panglima KOGAP (timbalan kepada Lukman) keluar dari MAGERAD dan mengistiharkan diri mereka KONGRES, selaras dan sesuai dengan krisis politik Parti Kongres di India pada masa itu.
Bagaimanapun hubungan KONGRES dengan Lukman adalah intim saperti hubungan beliau dengan MAGERAD pimpinan Ustaz Karim.
Pada tahun 1986, sekembalinya Lukman dari Makkah Almukarramah, beliau telah didatangani oleh sekumpulan anggota-anggota militer BRN yang berdiri neutral. Sidang tersebut ingin mengistiharkan diri mereka BRN PROGRESIF. Bagaimana pun sidang tersebut, setelah campurtangan Lukman, membuat satu resolusi membentuk sebuah lagi pasukan militia BRN yang diberi nama PKRRP (Pergerakan Komando Revolusi Rakyat Patani). Pada hakikatnya PKRRP itu ialah sayap militer BRN yang masih berada di bawah pimpinan Ustaz Karim.
Pada akhir tahun 1991, PKRRP mengambil langkah yang paling kontroversi untuk berunding dengan Tentera Bahagian Empat, Angkatan Bersenjata Diraja Thailand bagi menyelesaikan isu Patani di sidang meja bundar. Pada 18 Bobember 1991, PKRRP mengemukan apa yang dinamakan TUNTUTAN 22 PERKARA kepada Kerajaan Thailand melalui Tentera Bahagian Empat pimpinan Lt. Jeneral Kitti Rathanachaya. Hasil dari rundingan damai itu terbentuklah sebuah jawatankuasa perdamaian mengandungi 12 orang anggota – 8 dari PKRRP dan 4 dari Tentera Bahagian Empat.
Sebelum pusingan kedua diadakan Lukman ditangkap oleh Kerajaan Malaysia dan dipenjarakan dibawah ISA sekali lagi pada awal tahun 1992. Saperti struktur pimpinan KOGAP, PKRRP pimpinan Lukman Iskandar telah diambil-alih oleh Timbalannya, Cikgu Bakar, Panglima KODAM 3 ABRIP. Kalau Zainunman meneruskan penentangan terhadap DPP di atas nama KOGAP, maka Cikgu Bakar pula meneruskan usaha-usaha damai dengan Tentera Bahagian Empat di atas nama PKRRP.
Pada 28 April 1992, Cikgu Bakar menandatangani satu perjanjian damai dengan Tentera Bahagian Empat bertempat di Hilton Hotel International, Kuala Lumpur.
Lukman mengambil kursus LLB (Undang-Undang) dari University of London sewaktu berada dalam tahanan ISA. Beliau mencabar kesahihan penahannya di bawah undang-undang zalim lagi primitif itu. Mahkamah telah membebaskan beliau dan mengistiharkan penahanannya sebagai batal dan tidak sah serta mengarah kerajaan Malaysia membayar ganti rugi sebanyak RM 100 juta. Kerajaan Malaysia enggan membayar ganti rugi sebaliknya mencari usaha lain untuk menangkap beliau semula.
Setelah bebas dari ISA, beliau menyambung semula usaha damai dengan Tentera Bahagian Empat. Usaha-usaha ini menampakkan hasil yang positif. Beberapa siri rundingan diadakan diadakan secara sulit dengan perwakilan Angkatan Tentera Diraja Thailand dan Majlis Privi Thailand.
Jika ditinjau dari sudut politik, sejarah perpecahan dan kehancuran BRN adalah sejarah Lukman sendiri. (Lihat buku “UMAT ISLAM PATANI – SEJARAH DAN POLITIK” hampir semua catatan mengenai BRN ada berkaitan dengan Lukman Iskandar. Buku ini diterbitkan sewaktu Lukman sedang merengkok dalam tahanan ISA pada tahun 1993, beberapa bulan sebelum beliau menyaman kerajaan Malaysia yang memenjarakan beliau secara haram, batal dan tidak sah dari segi Perlembagaan Malaysia]
Lukman Iskandar menyertai BRN ketika organizasi itu berusia 13 tahun (ditubuhkan pada 13 March 1960, Lukman menyertai BRN pada tahun 1973). Empat tahun setelah menjadi anggotanya, Lukman menentang pucuk pimpinan BRN yang dikepalai oleh ulamak-ulamak berfahaman komunis ala-Russia. BRN menghadapi krisis kronik yang melandanya dan akhirnya membawa kepada perpecahan BRN itu sendiri ketika organisasi itu berada diambang usia 17 tahun. Lukman menjadi anggota BRN ketika berusia 24 tahun, dan sekarang berusia 45 tahun masih mengakui dirinya Setiausha Agung BRN.
Lukman disingkirkan oleh DPP (Dewan Pimpinan Pusat), kekuasaan tertinggi di dalam BRN yang dipimpin oleh ulamak-ulamak berfahaman komunis (menurut dakwaan Lukman) dari menjadi anggota BRN pada akhir tahun 1976. Lukman mendakwa pemecatannya tidak sah kerana beliau bukan menjadi anggota secara mengisi borang, tetapi mengangkat bai’ah Al Quran dengan almarhum Wan Mohammad Bung, pemidato, propagandis dan indoktrinator BRN yang paling unggul. Beliau meninggal akibat diserang sakit jantung pada awal tahun 1976. Pemecatan itu tidak sah, dan diperakui oleh Ustaz Karim, Setiausha Agung BRN ketika itu sebagai tidak adil dan zalim.
Ustaz karim atas kuasanya sebagai Setiausha Agung BRN merangkap Setiausha Jabatan Militer BRN mengangkat Lukman menjadi Panglima KOGAP pada 7 Januari 1977. Pada tanggal 14 Januari 1977, di hadapan Timbalan Panglima ABREP, Cikgu Ding, Ustaz Karim proklamir Lukman sebagai Komisaris kepada ABREP. Pengangkatan Ustaz karim tersebut meletakkan Lukman sebagai orang kedua terkuat dalam BRN, selain dari Ustaz Karim.
DPP memecat Lukman, Ustaz Karim membuat perlantikan dan memberi kuasa penting dalam politik dan militer. Ini bercanggah dengan kehendak DPP. Majoriti kader-kader dan anggota bawahan BRN bersetuju dengan tindakan Ustaz Karim. Lantaran itu DPP membuat kenyataan bahwa pembentukan KOGAP oleh Ustaz Karim sebagai tidak sah, malah diperkatakan secara lisan bahawa KOGAP itu “anak haram atau anak zina”. Tetapi jika Ustaz Karim meletakkan orang lain sebagai pemimpin KOGAP, tiada syak lagi bahawa DPP akan memperakukan penubuhannya (oleh Ustaz Karim).
Bagi Lukman pula, pemecatannya oleh DPP adalah zalim dan kejam kerana beliau mengangkat bai’ah dengan Wan Muhammad Bung. Wan Muhammad Bung meletakkan Lukman sebagai “anak emasnya” lalu diangkat pula menjadi sekrataris politik kepada Amin, atas sifat Amin selaku Presiden BRN. Wan Muhammad Bung atau Mat Bung, pemidato hebat dalam era keagungan BRN, adalah orang yang mengiyakan (“yes”) kepada apa sahaja tindakan Lukman. Tokoh-tokoh BRN saperti Shafie Basa, Ahmad Samuddin, Abdulrahman Toopa dan Mokhtar Waba sedang menunggu masa untuk menjatuhkan Lukman. Peluang ini terbuka luas apabila Mat Bung meninggal akibat diserang sakit jantung. Mereka membuat fitnah kepada Amin dan, membentangkan isu ini dalam sidang DPP. Peluang ini terbuka apabila Lukman mempunyai hubungan asmara dengan anak gadis Amin.
Karim dan 3 orang lagi anggota DPP (minoriti) memihak kepada Lukman. Lukman pula menggunakan kuasa militer dan politiknya menentang DPP atas nama ABREP, GURBAN dan KOGAP.
Nasib masih memihak kepada DPP kerana setelah mengistiharkan penentangan ke atas DPP yang berhaluan komunis itu, Lukman terjebak dalam krisis politik di Malaysia melalui pamannya, Senu Abdulrahman (Setiausha Agung UMNO – parti yang memerintah Malaysia) dengan memihak kepada Harun Idris (Ketua Pemuda UMNO) yang menentang Hussin Onn (Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO). Beberapa anggota staff kanan Angkatan Tentera Malaysia, yang terlibat dalam operasi ganyang komunis diperbatasan Malaysia, sedang dalam komplot rampasan kuasa (coup de tat). Rahsia terbocor, Lukman diletakkan pada tangga teratas oleh Hussin Onn.
Lukman ditangkap dan dipenjarakan di bawah Akta Rimba dikenali dengan nama ISA secara zalim dan batal. Lukman diperangkap sewaktu hendak meninggalkan Malaysia ke satu distinasi luar negeri – ke Iraq pada akhir tahun 1977. Dalam penjara, Lukman belajar secara off-campus dari Universitas Nasional (UNAS), University of Cambridge dan menyambung pengajiannya secara luar kampus juga dengan UiTM (universiti teknolgi). [Setelah bebas, beliau menyambung secara in campus]. Kerana bagi Lukman, ia harus ikut jejak Robert Mugarbe (Zimbabwe) yang lulus 17 sarjana sewaktu menghayati 17 tahun penjara.
Lukman dibebaskan dari tahanan ISA apabila Hussin Onn meninggalkan kerusi Perdana Menterinya, digantikan oleh Mahathir. Beliau dibebaskan secara bersyarat di mana antara syaratnya (1) Paspotnya dirampas – tidak boleh meninggalkan Malaysia (2) Berkurung dari jam 6.00 petang hingga 6.00 pagi (3) Tidak boleh pegang jawatan dalam organisasi (4) Harus lapur diri di Balai Polis setiap minggu (5) Tidak boleh menulis, berpidato dan bertanding dalam pilihanraya di Malaysia. Ini berarti Lukman dibebaskan dari penjara tetapi masih dipenjarakan di rumah.
Lukman lari ke luar negeri dengan paspot barunya, dengan modal (biasiswa) dari Jabatan Perdana Menteri, sewaktu Anwar Ibrahim menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Distinasinya tidak dapat dikesan, tetapi yang pasti Lukman sudah tamat pengajiannya, kembali ke Malaysia. Beliau ditangkap dan disumbatkan ke dalam penjara sekali lagi oleh polis rahsia Malaysia (SB). Mahkamah membebaskan dan mengistiharkan “Kerajaan cuai dan lalai” – maksudnya Kemeterian Dalam Negeri mengenakan sekatan ketat, termasuk merampas paspotnya; tetapi Jabatan Perdana Menteri memberi biasiswa kepadanya tanpa mengkaji latar belakang Lukman.
Dalam pertuduhan atau allegation yang dikenakan oleh Menteri Dalam Negeri Malaysia pada tahun 1977 ialah “Kamu sebagai anggota Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani atau BRN yang bertempat di Selatan Thailand, telah merancang untuk menggulingkan Kerajaan Malaysia secara revolusi dan tidak berperlembagaan.” SB Malaysia cuba mengaitkan teori ini dengan planning PLO di Jordan pada tahun 1972 di mana PLO telah menghasut tentera Jordan bangun menentang Al Malik Hussin. BRN dikatakan menggunakan teori tersebut untuk menggulingkan Malaysia. SB Malaysia juga mengaitkan rekod hitam BRN ketika meletusnya Konfrantasi Indonesia “Ganyang Malaysia” pada tahun 1963/64. Pada waktu itu beberapa anggota BRN telah ditangkap bersama tentera Indonesia yang mendarat. Turust dirampas ialah manifesto BRN. Hussin Yaacob dan Tengku Khairuddin, bekas anggota senior polis Malaysia dipenjarakan secara kejam dan zalim di bawah ISA bersama Ahmad Bustamam, Dr. Burhanuddin Al Helmi dan Ishak Haji Muhammad. Ibrahim Yaacob melarikan diri ke Indonesia, dan mati dalam buangan di sana. Tengku Khairuddin kembali ke Patani selepas bebas dari penjara, memimpin ABREP. Beliau mati ditembak askar penjajah Siam sewaktu Lukman memulakan agenda politik dan militernya menentang DPP (1976).
Setelah bebas dari penjara ISA, Lukman diberi mandat oleh Karim megang potfolio Jabatan Luar Negeri. Lukman dibuang jauh dari angkatan bersenjata selama lebih lima tahun.
Pada 25 Mei 1986, Lukman menubuhkan PKRRP, Pergerakan Komando Revolusi Rakyat Patani dengan meletakkan seorang anggota latihan RPKAD (Resimen Pasukan Komando Angkatan Darat – Indonesia) menjadi Pengerusi PKRRP. Lukman sendiri memegang jawatan sebagai Ketua Komando sama saperti struktur penyusunan GURBAN. Hakikatnya kuasa mutlak berada pada tangan Ketua Komando. Jika dibilang perang, maka peranglah; jika dibilang hunus senjata kepada pemimpin, hunuslah; jika dibilang berdamai, maka berdamailah. PKRRP walaupun diistiharkan sebagai sebuah pasukan militia, sempena dari kebanjiran pemuda-pemuda Patani yang dilatih di Libya dikenali dengan nama Lijan (dari Lujnah) bukanlah institusi militer sahaja malah sebagai institusi politik kepada pemuka-pemuka BRN yang militan, agressif dan radikal dari kalangan kaum intelek dan professional. Pengerusinya hanya dikenali dengan nama A. Yani atau Kolonel A. Yani.
PKRRP sebenarnya ialah BRN pimpinan Lukman Iskandar. Keyakinan Lukman kepada Karim, Amin atau Kongres pimpinan bekas timbalannya, Zainunman sudah tidak ada. Revolusi Patani semakin sejuk dan tidak bermaya.
Lukman menghantar beberapa anggota Lijan kembali ke Patani untuk perang bandar dan sabotasi. Dari jumlah 76 anggota militia latihan Libya, 50 orang hilang secara misteri. PKRRP tidak ada pablisiti, tetapi kewujudannya ada. Lukman sendiri sering pulang ke Patani dalam berbagai rupa. Apa lagi atas sifatnya sebagai ahli perniagaan yang berpengaruh di Malaysia. Beliau membuka kantor cabangnya di Bangkok. Beliau terbang ke seluruh dunia dengan mengunakan fasilitas isterinya yang bertugas di Malaysia Airline System (MAS).

Lukman hidup sebagai  tokoh konglomerat dengan otomobil mewah dan ramai isteri. Banyak perjumpaan  atau permesyuaratan PKRRP atau dengan mana-mana anak Patani termasuk pemimpin  ABREP, diadakan di coffee houses di hotel-hotel lima bintang. Beliau bercita-cita  juga untuk merampas jawatan politik dalam UMNO di Kuala Lumpur. Antara tahun  1990 hingga 1992 (sebelum beliau disumbat ke dalam penjara) beliau mula  aktif dalam politik UMNO. Hasratnya kecundang apabila dimasukkan ke dalam  penjara pada awal 1992.
Sewaktu dalam penjara beliau mengambil tindakan mahkamah ke atas Kerajaan Malaysia kerana penjarakannya secara haram. ISA tidak boleh dicabar di mahkamah, tetapi mahkamah membebaskannya. Aneh sekali.
Ramai pihak yang menuduh Kerajaan Malaysia sengaja sabotaj usaha-usaha damai Lukman. Jika Lukman menerima perdamaian dengan Thailand, Lukman akan menjadi besar di Patani. Kenaikkan Lukman akan mengancam kestabilan Malaysia, malah hingga menular ke Asia Tenggara. Lukman lulusan Indonesia dan pidatonya persis seorang Indonesia; sikap agresif dan radikal. Beliau mempertikaikan kewibawaan para pemimpin UMNO dan beliau pernah disumbatkan ke dalam penjara tanpa sebarang pablisisti. Tetapi bebarapa buku dan artikel ditulis, nama beliau masih dianggap sebagai pemimpin revolusi Patani. Pada hari beliau diistiharkan oleh mahkamah sebagai “tahanan yang tidak sah dan batal”, semua media meletakkan fotonya dimuka depan. Beliau bebas sebagai harimau juga. Beliau tidak akan biarkan Malaysia “enjoy” tersenyum kerana menyumbatnya dalam penjara selama lebih dari tujuh (7) tahun dan tahanan dalam rumah selama lima (5) tahun. Inilah hutang besar Malaysia kepada Lukman.
Lukman tidak ada kaitan dengan Amerika maka sukar dikaitkan dengan CIA. Dia belajar di Kanada. Ilmu hukum yang diambil sewaktu berada dalam penjara menjadi “test case” sehingga beliau bisa meloloskan diri dari undang-undang Parlimen yang menyatakan ISA tidak bisa dicabar di mana-mana sidang mahkamah. Lukman keluar dari penjara atas perintah mahkamah tinggi.
Sekali gus tindakan Malaysia memenjarakan Lukman disifatkan sebagai pengkhianatan besar oleh beberapa orang ulamak Patani. Ia dilihat sebagai provokasi untuk menghancurkan BRN pimpinan Lukman Iskandar.
Yang paling nyata proses damai telah dan akan berjaya. Caikgu Bakar telah menandatangani dokumen damai atas nama PKRRP, sayap militer BRN pimpinan Lukman Iskandar.
Sekarang Lukman telah dibebaskan dari tahanan ISA, Pembebasan beliau dibuat oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, sebuah mahkamah tertua dibuka oleh Inggeris pada tahun 1789, sewaktu menjajah Malaya. Lukman, dari penjaranya, telah mengemukakan Tindakan Jenayah (Criminal Proceeding} ke atas Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Komandan Kem Tahanan. Kesemuanya jatuh atas pundak PM Mahathir. Mahkamah membebaskan beliau tertakluk kepada ganti-rugi atau pampasan yang harus dibayar oleh ketiga-tiga pihak tersebut.
Lukman kembali ke dalam masyarakatnya saperti biasa. Beliau dapati proses perdamaian mencapai kejayaan sepanjang ketiadaannya. Perjanjian Damai diantara PKRRP dengan Tentera Bahagian Empat, yang mewakili Kerajaan Thailand menjadi isu semasa yang paling hangat. Ada yang menuduh mereka menjadi munafik.
BERJUANG TERUS, PANTANG MUNDUR MERDEKA! MERDEKA!
Tugas Lukman sekarang ialah membentuk apa yang dinamakan MAJLIS TERTINGGI PEMIMPIN MELAYU SELATAN THAILAND. Majlis ini merupakan “Parlimen” bagi orang-orang Melayu di Selatan Thailand mengambil Pelastin sebagai contoh. Majlis ini akan dianggotai oleh 120 orang anggota yang dipilih. Majlis akan mempunyai dua Dewan – iaitu Dewan Atas dan Dewan Bawah. Majlis dijangka akan mengadakan sidang pertamanya pada bulan Februari 1995. Lukman dijangka meresmikan sidang pertama “Parlimen” ala-Selatan Thailand mengandungi lima wilayah iaitu Setul, Senggora (Songkhla), Patani, Yala dan Menara (Narathiwat).
Kesimpulan dapat dibuat bahawa Kerajaan Thailand akan menandatangani perjanjian damai dengan BRN pimpinan Lukman Iskandar. BRN pimpina Lukman Iskandar akan diiktiraf sebagai pertubuhan yang sah oleh Kerajaan Thailand. Setakat ini Kerajaan Thailand telah mengakui dan megiktiraf kewujudan PKRRP dan PKRRP itu ialah BRN pimpinan Lukman Iskandar. BRN akan memperolehi “locus standi” atau “legal entity” yang akan menuju ke arah status quo dan kuasa de facto. InsyaAllah.

Dikeluarkan oleh:
JABATAN SETIAUSHA AGUNG,
BARISAN REVOLUSI NASIONAL MELAYU PATANI (BRN)
Tanggal : 10 Oktober 1994
Sempena ulangtahun ke 26 lahirnya ABREP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan